KUAMUT (Sabah), 4 Sept – Parti Bersatu Sabah (PBS) yakin semua perancangan dan program pembangunan kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan dapat direalisasikan seperti dirancang. Presidennya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, berkata kerajaan sekarang lebih tersusun, terarah dan mempunyai hala tuju yang jelas serta disokong oleh tindakan [...]
KUAMUT (Sabah), 4 Sept – Parti Bersatu Sabah (PBS) yakin semua
perancangan dan program pembangunan kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan dapat direalisasikan seperti dirancang.
Presidennya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, berkata kerajaan sekarang lebih tersusun, terarah dan mempunyai hala tuju yang jelas serta disokong oleh tindakan yang menyeluruh, bersepadu dan sistematik.
“Selepas pilihan raya umum 2008, kita masih lagi menyaksikan perubahan
tertentu. Satu daripada perubahan positif yang jelas adalah pentadbiran Datuk Seri Najib dengan pendekatan yang begitu dekat sekali di hati rakyat dengan konsep 1Malaysia yang memberikan hala tuju yang jelas kepada Barisan Nasional (BN).
“Kita boleh nampak kepimpinan sekarang ini mempunyai pendekatan yang begitu jelas, terpandu dan peluang kepada kita untuk menyampaikan sesuatu perkara adalah terbuka dan semua pihak diberi ruang dan peluang untuk menyampaikan hasrat dan aspirasi masing-masing,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS Bahagian Kuamut, di sini hari ini.
Daripada segi perhubungan di dalam BN pula, ia lebih terbuka dan pucuk
pimpinan sentiasa membuka ruang dan peluang kepada parti komponen untuk menyampaikan semua perkara sama ada berkaitan pentadbiran mahupun politik, katanya.
“Apa yang kita cari di antara pemimpin BN adalah semangat kekitaan agar saling menyokong di antara satu sama lain bagi menguatkan ikatan di dalam BN.
“Semangat sokong menyokong, bantu membantu adalah yang sangat diperlukan untuk kepentingan negeri dan rakyat serta generasi akan datang bagi memastikan kemenangan calon BN,” katanya.
Beliau juga berharap BN akan mengambil perhatian serius isu pendatang asing tanpa izin di Sabah agar dapat diselesaikan dengan segera atau selewat-lewatnya sebelum 2012. -Bernama

Source: UMNO Online |