MARAN, 3 Sept – Program membasmi kemiskinan yang dilihat melebihkan kaum Bumiputera, tidak boleh ditafsirkan sebagai satu dasar perkauman, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap program membasmi kemiskinan yang dilaksanakan kerajaan sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) secara jelas mahu membantu semua kaum yang dilihat amat memerlukan bantuan berkenaan. “Tak ada dasar [...]
MARAN, 3 Sept – Program membasmi kemiskinan yang dilihat melebihkan kaum Bumiputera, tidak boleh ditafsirkan sebagai satu dasar perkauman, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap program membasmi kemiskinan yang dilaksanakan kerajaan sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) secara jelas mahu membantu semua kaum yang dilihat amat memerlukan bantuan berkenaan.
“Tak ada dasar diskriminasi (atau) dasar perkauman, ini adalah dasar
nasional, dasar untuk mengimbangkan pengagihan kekayaan tanpa mengira kaum, yang kita tahu sejak daripada tahun 1970 (sejak Dasar Ekonomi Baru),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pembasmian Miskin Tegar dan Miskin Bandar Negeri Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas tindakan pihak tertentu yang melabelkan tindakan kerajaan yang lebih membantu kaum Bumiputera sebagai rasis, Muhyiddin berkata, mereka yang terbabit membuat kenyataan sedemikian sebenarnya lebih bersikap rasis.
“Sepatutnya tidak ada pihak yang melabelkan dasar untuk membantu Bumiptera yang masih miskin dan lemah sebagai dasar perkauman kerana DEB dahulu apabila dilancarkan diterima untuk semua kaum dan bukan untuk Melayu.
“Perkara ini tak sepatutnya timbul kerana mereka lebih rasis kerana
mengeluarkan kenyataan sedemikian,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, daripada segi bantuan pendidikan, perkara berkenaan tidak seharusnya dibangkitkan kerana ia akan hanya menimbulkan rasa tidak puas hati dan kebencian antara kaum.
“Sedangkan selepas 53 tahun merdeka, ia menjadi asas yang kita perjuangkan untuk mewujudkan kestabilan politik dalam negara.
“Jadi, apa jua yang kita buat dalam kerajaan jangan dipandang serong kerana tujuannya adalah untuk kebaikan bersama tanpa mengira perbezaan kaum,” katanya.
Ditanya mengenai kaum Bumiputera sendiri mempersoalkan dasar kerajaan itu, Muhyiddin yang terkilan dengan pihak terbabit berkata, menyifatkan golongan terbabit tidak memahami situasi kaum sendiri yang masih memerlukan banyak sokongan dan bantuan kerajaan.
“Jika dalam keadaan begitu ada orang Melayu sendiri yang mengkhianati
perjuangan Melayu, sudah tentu pihak lain akan mengambil kesempatan dan mengiyakan dasar perkauman,” katanya.
Bagaimanapun, katanya persoalan itu tidak seharusnya timbul kerana agenda membasmi kemiskinan dan memastikan keseimbangan antara kaum, masih lagi diperjuangkan.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri menyerahkan buku akaun dan buku pelaburan Skim Amanah Saham Wawasan 2020 kepada 305 penerima miskin tegar pada majlis berkenaan.
Turut hadir isteri Muhyiddin, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak. -Bernama

Source: UMNO Online |