OLEH: ISMAIL BIN SANI
Saya memerhati dengan hairan dan sedih beberapa insiden yang mempertikaikan fungsi institusi diraja khasnya di negeri Selangor. Hairan kerana ada rakyat yang masih tidak memahami kepentingan institusi ini. Sedih kerana mereka juga yang tinggal di negeri ini dan bernaung di bawah institusi tersebut.
Sejak Pakatan Rakyat memerintah Selangor, ada pihak-pihak yang mempersoal fungsi institusi tersebut secara langsung atau tidak. Suasana menjadi terbuka kononnya mendukung demokrasi tulen. Namun telah menggugat keunggulan institusi yang turut menggoncangkan keharmonian dalam masyarakat.
Ternyata ini demokrasi yang merosak dan bukannya yang membina. Keadaan ini harus disedari dan diperbetulkan bagi memelihara kestabilan negeri dan kerajaan. Institusi diraja umpama tiang seri negeri akan memastikan negeri terus teguh berdiri.
Institusi Diraja Selangor
Institusi mengikut Kamus Dewan ialah – “badan atau organisasi yang ditubuhkan untuk sesuatu tujuan tertentu”. Ertinya institusi adalah sesuatu badan atau organisasi rasmi yang wujud secara perundangan dan ia adalah sah. Maka ia wajar difahami, dijaga, dipercayai dan dijunjung oleh pimpinan serta rakyat keseluruhannya.
Dalam konteks ini, institusi diraja merujuk pada kesultanan Selangor yang memerintah negeri. Di era moden ini, ia sah tertubuh dengan tujuan memerintah negeri berdasarkan “Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959”. Undang-undang ini mewujudkan institusi tersebut yang menjelaskan antaranya fungsi DYMM Sultan Selangor sebagai payung negeri dan Ketua Agama Islam, waris-waris baginda, Dewan Diraja dan Raja Muda.
Institusi ini bukan wujud setahun dua, malah lebih 250 tahun yang lalu apabila ia diasaskan oleh Raja Lumu tahun 1756. Corak pemerintahan silih berganti namun institusi ini berjaya mengharunginya dan kekal memerintah serta membawa kemakmuran kepada rakyat. Kini Sultan Sharafuddin Idris Shah bertahta sebagai Sultan Selangor kesembilan dengan corak pemerintahan raja berpelembagaan.
Sultan Payung Negeri
Raja berpelembagaan bermakna Sultan kekal sebagai ketua negeri yang memerintah berlandaskan undang-undang yang termaktub. Seperti yang dijelaskan dalam undang-undang tubuh negeri, pada amnya pemerintahan diserahkan kepada tiga cabang jentera kerajaan iaitu badan eksekutif, legislatif dan kehakiman.
Kita perlu ingat sultan atau raja-raja sebenarnya telah menyerahkan kuasa pemerintahan mereka setelah era penjajahan, kini baginda memerintah berlandaskan perlembagaan dan undang-undang. Urusan harian kerajaan dilaksanakan oleh cabang-cabang kerajaan.
Badan eksekutif adalah seperti Dato’ Menteri Besar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagai pelaksana pemerintahan. Badan legislatif Dewan Undangan Negeri dan Ahli-ahli Dewan adalah penggubal undang-undang negeri. Manakala badan kehakiman yang meliputi pihak mahkamah dan hakim khasnya mahkamah syariah adalah penafsir dan penguatkuasa undang-undang yang dihasilkan.
Kedudukan sultan adalah penting kerana kedudukannya di atas cabang-cabang pemerintahan tersebut. Ini bermakna Baginda berada di atas pentadbiran dan politik. Baginda memayungi kerajaan. Pada kedudukan ini Baginda boleh menasihati kerajaan iaitu ketiga-tiga cabang kerajaan tersebut agar berperanan sebaik mungkin untuk rakyat.
Kepentingan Institusi Diraja
Atas sifat Baginda yang memerintah berpaksikan undang-undang ini, institusi diraja ini menjadi sumber kuasa dan kestabilan negeri. Ini kerana institusi ini kekal berfungsi walaupun setelah kerajaan dibubarkan kerana proses pilihan raya. Sultan kekal di situ dan akan memberikan mandat pada kepimpinan baru berlandaskan syarat-syarat yang ditetapkan. Pada ketika itu, sultan menjamin kelangsungan sebuah kerajaan.
Baginda turut menjadi sumber keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat. Ini kerana Baginda bertanggungjawab menjaga hak dan keperluan semua kaum selaras dengan tuntutan Perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri. Ini dinyatakan dengan jelas dalam bab 8, Undang-undang Tubuh Selangor tentang “Kedudukan Istimewa berhubung dengan orang Melayu” dan juga kepentingan yang sah kaum-kaum lain.
Baginda juga adalah sumber kuasa yang mengawal institusi agama dan aktiviti Islam seluruh negeri. Sebagai Ketua Agama Islam negeri yang sesuai dengan tarafnya sebagai agama rasmi dan teras dalam masyarakat, Baginda menjaga syiar agama Islam dan perpaduan umat Islam itu sendiri. Perkara 48 Undang-undang Tubuh Selangor jelas menyatakan Sultan Selangor adalah Ketua Agama Negeri.
Institusi Yang Tercabar
Walaupun, akhir-akhir ini ia kelihatan seolah-seolah dicabar dan tercabar. Pertamanya mencabar institusi DYMM Tuanku Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam dengan mengingkari dan mempertikaikan titah perintah baginda. Antaranya titah baginda menegah masjid dan surau dijadikan gelanggang politik, perlekeh enakmen-enakmen berkenaan agama Islam dan melarang orang bukan Islam masuk ke ruang solat utama surau atau masjid.
Saya lihat ada pihak-pihak dari pimpinan Pakatan Rakyat sendiri mengingkarinya. Setelah titah teguran dibuat ada pula yang mempertikaikan dan cuba mengaitkan dengan permainan politik parti lawan atau permainan pihak media.
Laporan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) jelas menunjukkan pelanggaran ingkar arahan Sultan oleh nazir-nazir masjid. Pada bulan Mei lalu seramai 15 nazir masjid diberi amaran keras kerana mengingkari arahan melarang mana-mana pihak menggunakan masjid di negeri ini sebagai tempat berpolitik. Nyata nazir-nazir ini telah mencabar institusi diraja tersebut.
Isu yang sama mengundang kenyataan mempertikaikan kuasa sultan dalam mengeluarkan perintah kepada rakyat Selangor dalam hal ehwal Islam oleh pemimpin Pakatan Rakyat. Anggapannya raja berpelembagaan tidak boleh mengeluarkan arahan pentadbiran secara terus.
Padahal mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, Sultan Selangor atas kapasiti sebagai Ketua Agama atau MAIS boleh mengeluarkan perintah kepada orang Islam bagi menjaga kesucian agama Islam dan institusinya. Lagi jika dirujuk pada Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor – Perkara 55(1) dan (2) memperuntukan Tuanku Sultan Selangor mempunyai kuasa budi bicara mutlak dalam beberapa perkara dan ini termasuk Fasal (2)(d) iaitu kuasa budibicara Tuanku sebagai Ketua Agama Islam.
Politik Masjid Menghancur Ummah
Ada alasan mudah membolehkan politik dalam masjid seperti mana sunnah Rasulullah saw. Benar Rasulullah menggunakan masjid sebagai pusat bagi segala aktiviti pentadbiran, politik, pendidikan, ekonomi dan pembangunan sosial di waktu itu. Namun kita mesti mempertimbangkan dari sudut realiti pengamalan zaman ini.
Cara politik Rasulullah berdasarkan kata-kata yang benar kerana bersandarkan wahyu. Hasilnya ialah perpaduan dan kekuatan persaudaraan serta silaturrahim antara saudara seagama sehingga menggerunkan musuh-musuh Islam. Ini kerana ia tidak berlandaskan politik kepartian.
Namun hari ini cara politik kita berdasarkan fitnah, kata-kata nista serta berita-berita yang belum lagi terbukti kebenarannya. Hasilnya wujud perasaan sangsi, marah dan benci di hati sesama jamaah hingga membawa perpecahan dalam masyarakat. Akibatnya kita diperlecehkan dan ditertawakan oleh orang lain. Ini kerana politik kita berdasarkan parti yang mendukung ideologi tertentu.
Baginda Sultan amat memahami perkara ini kerana merasai setiap denyut nadi ummat. Maka itu amat bertepatan langkah Baginda mengeluarkan titah-titah arahan tersebut. Baginda mengambil langkah menutup suatu pintu yang boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar lagi dalam masyarakat.
Gagal Mendukung Aspirasi
Maka itu saya lihat kerajaan negeri gagal menangani isu-isu yang mencabar kreadibiliti dan kesahan institusi diraja negeri dengan baik dan berhikmah. Ini kerana parti-parti yang membentuk Pakatan Rakyat itu sendiri – PAS, DAP dan PRK mempunyai dasar dan kefahaman tentang pembinaan negara bangsa yang berbeza.
Ada yang taksub dengan demokratik-liberalisme, cita-cita negara Islam dan rakus kuasa untuk memerintah. Justeru mereka gagal menempatkan diri apatah lagi mahu mendukung aspirasi kewujudan undang-undang dan institusi yang telah ada.
Pimpinan parti dilihat gagal memahami sejarah, fungsi dan matlamat kewujudan institusi sedia ada dengan baik. Tidak mustahil boleh wujud syak wasangka buruk terhadap institusi sedia ada. Pada hal institusi-institusi ini sedia ada kukuh memayungi pembangunan negeri dan negara lebih setengah kurun.
Kembali Ke Akar
Akhirnya saya harap rakyat Selangor semua dapat membuka mata dan pemikiran mereka untuk melihat isu-isu berhubung dengan institusi diraja ini secara rasional dan mendalam. Jauhkan pemikiran yang simplistik atau sewenangnya memberikan pandangan tanpa diserahkan pada pihak yang berhak.
Mahu tidak mahu kita mesti kembali memahami akar sejarah pembinaan negeri dan bangsa ini. Malaysia dibina berteraskan institusi diraja sebagai sumber kuasa yang asal. Oleh itu institusi ini mesti kekal sebagai sumber kuasa, kedaulatan dan kesejahteraan negeri.
Harapan saya kita semua menolak dan tidak menyokong mereka yang giat mempertikai institusi diraja serta kesucian agama Islam. Tindakan ini akan bukan sahaja memelihara institusi tersebut, tetapi boleh mengukuhkan keharmonian dan kemakmuran negeri serta negara amnya.
- Ismail bin Sani ialah ADUN Barisan Nasional Kawasan Dusun Tua, Selangor.
OLEH: ISMAIL BIN SANI
Saya memerhati dengan hairan dan sedih beberapa insiden yang mempertikaikan fungsi institusi diraja khasnya di negeri Selangor. Hairan kerana ada rakyat yang masih tidak memahami kepentingan institusi ini. Sedih kerana mereka juga yang tinggal di negeri ini dan bernaung di bawah institusi tersebut.Sejak Pakatan Rakyat memerintah Selangor, ada pihak-pihak yang mempersoal fungsi institusi tersebut secara langsung atau tidak. Suasana menjadi terbuka kononnya mendukung demokrasi tulen. Namun telah menggugat keunggulan institusi yang turut menggoncangkan keharmonian dalam masyarakat.