KOTA KINABALU, 2 Ogos – Kerajaan Sabah bercadang untuk menukar status tanah negeri tertentu yang tidak sesuai untuk dibangunkan termasuk aktiviti pertanian kepada tanah hutan simpan. Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata tindakan itu dibuat bagi menggantikan tanah hutan simpan yang sekian lama didiami penduduk kampung, yang diubah statusnya kepada tanah negeri. Beliau berkata, [...]
KOTA KINABALU, 2 Ogos – Kerajaan Sabah bercadang untuk menukar status tanah negeri tertentu yang tidak sesuai untuk dibangunkan termasuk aktiviti pertanian kepada tanah hutan simpan.
Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata tindakan itu dibuat bagi menggantikan tanah hutan simpan yang sekian lama didiami penduduk kampung, yang diubah statusnya kepada tanah negeri.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi tujuan pemuliharaan kawasan hutan simpan di negeri ini.
Sebelum ini, katanya, kerajaan telah memutuskan untuk mengubah status tanah Hutan Simpan kepada tanah negeri yang bertujuan membolehkan penduduk yang terlibat terus menetap di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, Musa meminta Pengarah Jabatan Perhutanan dan Jabatan Tanah dan Ukur supaya membuat kajian terhadap cadangan itu bagi memastikan wujudnya situasi ‘menang-menang’.
“Tanah hutan simpan kita tukar kepada tanah kerajaan dengan syarat kita tidak berikan secara individu bagi mengelak mereka menjual tanah kepada orang lain,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Abdul Rahim Ismail (BN-Pantai Manis) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.
Musa berkata, dengan pemberian tanah secara berkelompok, penduduk berkenaan tidak boleh menukar hak milik tanah berkenaan, sekaligus ia dapat diwarisi sehingga ke anak cucu.
Menjawab soalan asal Datuk Samsudin Yahya (BN-Sekong), beliau berkata, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah mengeluarkan sebanyak 334,204 geran tanah berdaftar dengan keluasan 1,903,401 hektar sehingga Disember tahun lepas.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 188,809 geran tanah berdaftar jenis hak milik anak negeri (NT) dan geran komuniti (FR) dengan keluasan 464,584 hektar telah dikeluarkan dan didaftarkan.
Jumlah itu mewakili 56 peratus daripada jumlah keseluruhan geran tanah yang telah dikeluarkan di negeri ini, katanya.
Musa berkata, keluasan tanah jenis NT/FR yang telah dibangunkan dan diusahakan adalah sekitar 50 peratus atau seluas 232,292 hektar.
Beliau berkata, Jabatan Tanah dan Ukur Negeri juga telah mewujudkan kaedah pemberimilikan tanah yang lebih efisien melalui pemberimilikan tanah terancang untuk pengeluaran geran komuniti.
Bagi membolehkan geran komuniti dikeluarkan, pindaan kepada peruntukan di bawah seksyen 76, Ordinan Tanah Sabah telah diwartakan pada 12 Disember tahun lepas, katanya.
Musa berkata, geran komuniti yang pertama dikeluarkan di negeri Sabah ialah FR 154000558 dengan keluasan 1,200 hektar dan FR 154000567 dengan keluasan 2,400 hektar yang didaftarkan di pejabat tanah Nabawan pada 2 Jun tahun ini.
“Kedua-dua geran komuniti yang dikeluarkan masing-masing melibatkan 10 kampung, dengan jumlah 680 orang anak negeri Sabah dan pada masa ini kedua-dua kawasan tersebut sedang dalam proses untuk dibangunkan dengan program penanaman kelapa sawit secara usaha sama bagi meningkatkan taraf hidup penduduk kampung setempat yang merupakan benefisiari kepada geran komuniti tersebut.
“Program tersebut adalah selari dengan agenda negara di bawah perkara 4 dan 5, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA),” katanya.
Musa berkata, pengeluaran geran komuniti banyak memberi faedah dan manfaat kepada penduduk kampung termasuk membantu membasmi kemiskinan melalui pemberimilikan tanah yang terancang dan merancang pembangunan tanah yang optimum serta menjamin, memelihara dan melindungi kepentingan tanah anak negeri Sabah. -Bernama

Source: UMNO Online |