KUALA LUMPUR 31 Julai – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengingatkan semua pihak supaya jangan menyentuh soal sensitiviti kaum di negara ini.
Seri Paduka bertitah, semua pihak perlu menghormati nilai tersebut dan pada masa yang sama mengekalkan sikap toleransi antara kaum yang sedia wujud sejak sekian lama.
“Sensitiviti kaum mestilah sentiasa dijaga dan dijadikan sempadan [...]
KUALA LUMPUR 31 Julai – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengingatkan semua pihak supaya jangan menyentuh soal sensitiviti kaum di negara ini.
Seri Paduka bertitah, semua pihak perlu menghormati nilai tersebut dan pada masa yang sama mengekalkan sikap toleransi antara kaum yang sedia wujud sejak sekian lama.
“Sensitiviti kaum mestilah sentiasa dijaga dan dijadikan sempadan bagi semua pihak agar perpaduan yang dinikmati ini dapat diperkukuhkan,” titahnya pada majlis sambutan Hari Pahlawan 2010 di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.
Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Azizan Ariffin dan semua panglima cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sementara itu, Tuanku Mizan menyeru semua rakyat agar meningkatkan semangat patriotisme bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati sekarang berkekalan.
Titah Seri Paduka, semangat sanggup berkorban demi negara perlu sentiasa dipupuk dan disemarakkan tanpa mengira keturunan, agama dan budaya.
Mengenai pasukan keselamatan negara, Tuanku Mizan bertitah, baginda berbangga dengan kualiti dan kemampuan pasukan tersebut.
Menurut Seri Paduka, kecemerlangan pasukan keselamatan bukan sahaja terbukti dalam aspek menjaga keamanan negara tetapi turut merangkumi sumbangan yang dimainkan di peringkat antarabangsa.
“Pasukan keselamatan kita telah membuktikan kemampuan yang hebat di 26 negara. Perkhidmatan cemerlang ini telah mengharumkan nama negara.
“Kecemerlangan pasukan ini bukan sahaja diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) malah turut disanjung oleh penduduk tempatan,” titah Tuanku Mizan.

Source: UMNO Online |